Kampung Felda Bersia ini berasal dari Tanah Rancangan Felda Bersia yang dibangunkan oleh Kerajaan Pusat dibawah Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi dan di urus tadbir FELDA. Mula tahun 2015 Felda telah diletak terus di bawah urusan dan jagaan YAB Timbalan Perdana Menteri.

Felda Bersia mula di buka pada tahun 1960 dan mula di tempatkan peneroka pada 1963 bagi peringkat SATU, pada 1965 peringkat DUA dan tahun 1968 peringkat TIGA yang berjumlah seramai 342 keluarga. Nama Felda Bersia ini diambil dari nama kampung asalnya Bersia Lama sebuah kampung tradisional yang berdekatan dengan Felda Bersia.

Tika dulunya, Felda Bersia merupakan tanah rancangan yang mengusahakan getah tetapi kini disini mereka lebih mengutamakan tanaman sawit selain pendapatan sampingan seperti usahatani yang lain seperti pisang, taugeh juga tebu. Kebanyakkan penduduk wanita kini tidak lagi menjadi suri rumah tangga semata tetapi mereka juga turut membantu suami dan keluarga dengan mengambil upah menjahit dan menjual secara atas talian setelah diperkenalkan 'Get Malaysian Business Online' (GMBO) oleh kerajaan setahun lepas.

Walaupun Felda kini tidak lagi sama seperti dulu, tetapi disini masih lagi mengamalkan amalan gotong-royong semasa kenduri, hidup bermasyarakat dan amalan nenek moyang seperti menziarah jiran tetangga, bacaan yassin dan melawat orang sakit. Malah, untuk mengeratkan hubungan kemasyarakatan, penduduk Felda Bersia aktif mnyertai program - program seperti sambutan hari kemerdekaan, jamuan hari raya, aktiviti membuat bubur asyura dan sebagainya. Tambahan, program berbentuk ilmiah dan kerohanian turut dijalankan di masjid dan juga surau untuk membentuk peribadi yang mulia di kalangan penduduk di sini.